SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TENOM, SABAH

 

Sejarah Awal (Di SRK Pekan Tenom dan SRJK Chung Hwa Tenom)

Sejarah Sekolah Menengah Tenom bermula pada tahun 1968 dengan lebih dikenali sebagai Government Junior Secondary School, Tenom (GJSS, Tenom).  Encik Masi Haji Saruddin (Januari 1968 – Disember 1968) telah diberi kepercayaan untuk menyandang kerusi pengetua yang pertama di SM Tenom.  Pada permulaannya, SM Tenom hanya mempunyai satu kelas iaitu kelas peralihan dengan bilangan pelajar seramai 30 orang.  Kelas peralihan ini menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. 

Penubuhan GJSS Tenom ini adalah hasil permintaan masyarakat Tenom melalui Jawatankuasa Pelajaran Tempatan (Local Education Committee) yang dipengerusi oleh Tuan Pegawai Daerah Tenom pada masa tersebut – Encik Thomas Koroh (bekas Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, nama Islamic beliau ialah Tun Ahmad Koroh). 

GJSS, Tenom pada tahun pertamanya hanya mempunyai 2 orang guru (termasuk Pengetua).  Sumber kewangan pula adalah dating daripada pelajar-pelajar sendiri.  Malah GJSS, Tenom hanya menumpang di SRK Pekan Tenom kerana ketiadaan bangunan sendiri dan terpaksa belajar di sebelah petang kerana pada waktu pagi bangunan SRK Pekan Tenom telah digunakan oleh murid-murid sekolah rendah. 

Dalam tahun-tahun berikutnya, bilangan pelajar semakin meningkat dan kelas-kelas juga bertambah.  Maka pihak Jawatankuasa Pelajaran Tempatan Tenom, yang dipengerusi oleh Tuan Pegawai Daerah pada masa itu, Encik Thomas Koroh merayu kepada Kerajaan Sabah untuk mendapatkan bangunan sendiri. 

Cadangan tapak bangunan sekolah ini adalah di Kampung Mantailang, Tenom dengan keluasannya kira-kira 90 ekar.  Kawasan seluas ini pada mulanya dicadangkan untuk mendirikan Sekolah Menengah Vokasional dan Maktab Perguruan di samping bangunan SM Tenom.  Malangnya cadangan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada pihak atasan.  Ini menyebabkan tapak bangunan SM Tenom sekarang hanya seluas 25.60 ekar sahaja. 

Walaupun cadangan bangunan baru ini dibina pada tahun 1969, tetapi pembinaannya tergendala kerana menghadapi beberapa masalah terutamanya dari segi kewangan daripada pihak kerajaan Kerajaan Negeri. 

Sementara itu, GJSS Tenom terus menghadapi pelbagai masalah terutamanya dari segi kemudahan infrastruktur dan tenaga pengajar.  Contohnya, pada tahun 1971 bilangan pelajar meningkat kepada 221 orang (4 kelas peralihan, 2 tingkatan satu dan 1 tingkatan 3).  Dengan adanya tingkatan 3, kekurangan kemudahan benar-benar dirasai terutamanya bilik makmal Sains.  Alternatif telah diambil dengan menggunakan bengkel Seni Perusahaan yang pada permulaannya digunakan sebagai tempat menyimpan alat-alat seni perusahaan.  Alat-alat dalam bilik ini telah dihantar balik ke Kota Kinabalu pada akhir tahun 1971 untuk meluangkan bilik tersebut.  Dengan kekosongan bilik tersebut, barulah masalah makmal Sains dapat diselesaikan. 

Pada tahun 1975, sekolah ini telah menukar bahasa pengantarnya daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu.  Pertukaran ini dibuat selaras dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan.  Dengan pertukaran bahasa pengantar, nama sekolah juga turut ditukar dari Government Junior Secondary School Tenom kepada Sekolah Menengah Kerajaan Tenom.  Oleh sebab itu, kelas-kelas peralihan di sekolah ini juga dimansuhkan. 

Pada tahun 1979, SMK Tenom mencatatkan satu lagi sejarah dalam perkembangan sekolah ini dengan pembukaan tingkatan 4 sastera, (bilangan pelajarnya 45 orang).  Sebelum ini, pelajar lepasan peperiksaan LCE (Lower Certificate of Education) dinasihatkan melanjutkan pelajaran ke SMJK St. Anthony, Tenom.  Ini adalah disebabkan pada masa itu, SM Tenom masih menumpang di bangunan SRK Pekan Tenom.  Menjelang tahun 1979, bilangan pelajar sekolah ini telah meningkat sehingga 470 orang.  Bilangan kelas yang ada pula adalah seperti berikut:- 

Tingkatan

Bilangan Kelas

1

5

2

4

3

4

4 (Sastera)

1

Jumlah 4

14

 

Memandangkan kekurangan bilik darjah, SRK Pekan Tenom tidak dapat menampung bilangan pelajar SM Tenom yang semakin bertambah itu.  Pengetua pada ketika tersebut, En. Gulam Hussein Hj. Md. Shaffie telah memohon kepada Guru Besar SRJK. Chung Hwa, Tenom, melalui penyelia Kanan Daerah Tenom bagi menumpang 4 kelas tingkatan satu dan 2 kelas tingkatan dua di sana.  Dengan itu, SM Tenom menumpang di dua buah sekolah rendah dari tahun 1979 hingga 1980.

Bangunan baru SM Tenom di Kampung Mantailang hanya dimulakan pembinaannya pada tahun 1976 dan siap dapa tahun 1981.  kelewatan ini disebabkan oleh masalah kontraktor yang terpaksa diganti melalui tender yang baru.  Hasil tender yang baru itu, Kerajaan Persekutuan terpaksa memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM 1.5 juta.

Lokasi Bangunan SM Tenom

Bangunan baru SM Tenom ini siap dibina pada bulan Mei, 1981 dengan keluasan 25.60 ekar.  Ianya terletak di Kampung Mantailang yang jaraknya 6 kilometer ke selatan Pekan Tenom dan 44 Kilometer ke Utara Pekan Keningau.  Manakala 53 Kilometer Barat Daya Pekan Beaufort dan 184 Kilometer Barat Laut Bandaraya Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah. 

Tahap Baru SM Tenom (Kampung Mantailang)

Pada tahun 1981, pelajar-pelajar dan guru-guru secara rasminya berpindah ke bangunan baru di Kampung Mantailang yang sejauh 6 Kilometer dari Pekan Tenom.  Pada mulanya (1981) pihak pentadbir sekolah, guru-guru dan pelajar-pelajar menghadapi masalah kerana bangunan sekolah ini belum siap dengan sepenuhnya.  Walaupun pihak Jabatan Pelajaran Negeri (Bahagian Pembangunan) belum meluluskan bangunan ini, tetapi keadaan mendesak telah memaksa SM Tenom mengambil langkah berpindah ke bangunan baru. 

Di antara masalah-masalah yang dihadapi adalah seperti:-

1.      bangunan asrama putera dan puteri belum dapat dibuka.  Ini menimbulkan masalah pengangkutan dan kediaman bagi pelajar yang tinggal jauh dan tidak mempunyai perhubungan jalan raya.

2.      bilik-bilik makmal sains belum dapat digunakan sepenuhnya kerana pendawaian elektrik belum siap  dan belum diluluskan oleh pihak yang berkenaan. 

Namun demikian, masalah-masalah ini dapat diatasi dengan berperingkat-peringkat.  Bangunan baru sekolah ini menelan belanja hampir RM 7 juta, dengan dikendali oleh dua kontraktor.  Harga asalnya lebih kurang RM 4.5 juta sahaja.  Sekolah Menengah Tenom adalah sebuah sekolah menengah yang terbesar di Daerah Tenom masa kini.  Ianya dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang moden samada di bidang akademik mahupun sukan. 

Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Tenom

1.      En. Masi Haji Saruddin (Januari 1968 – Disember 1968)

2.      En. Gulan Hussein Hj. Mohd. Shaffie (Januari 1969 – Ogos 1975)

3.      En. Teo Eng Seng (September 1975 – Disember 1975)

4.      En. Awang Besar Hj. Abu Bakar (Januari 1976 – Disember 1976)

5.      En. Gulam Hussein Hj. Mohd. Shaffie (Januari 1977 – Januari 1982)

6.      En. Suhaibul Suriman (Februari 1982 – Disember 1982

7.      En. Abdul Kadir Bakri (Januari 1983 – Disember 1986)

8.      En. Eg Soi Ngwung (Disember 1986 - 1985)

 

** Sumber:- Majarah Bakti 85


COPYRIGHT © 1998-2000 MINIVIRUS HOUSE™